KUCHING: Aplikasi dBazzar merupakan sebuah platform e-dagang yang dibangun, dimiliki dan dikendalikan rakyat Sarawak sendiri.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau percaya aplikasi ini akan maju dan menonjol.
“Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada dBazaar terutama pengasasnya selepas mempunyai pengalaman lama di Amerika Syarikat dan memiliki pengetahuan mengenai e-dagang.
“Saya pasti dBazaar akan maju dan menjadi aplikasi yang sangat menonjol dari segi e-dagang.
“dBazaar ini juga akan mengubah cara perniagaan bukan sahaja di dalam negara tetapi untuk menyampaikannya kepada pelanggan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Aplikasi dBazaar di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Khamis.
Datuk Patinggi Abang Zohari juga menambah, beliau percaya aplikasi ini juga boleh merentasi sempadan seperti syarikat e-dagang AliBaba.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, Kerajaan Sarawak telah mengemukakan permohonan untuk membentuk Bank Digital untuk Sarawak.
“Kerajaan Sarawak telah pun mengemukakan permohonan untuk membentuk bank digital dan jika ia diluluskan, kita akan mempunyai bank kita sendiri.
“Semua infrastruktur ini secara digital membolehkan untuk membangun e-dagang,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas dBazzar Kent Kho, yang turut berucap memberitahu, pihaknya akan memperluaskan perkhidmatan kepada peniaga di seluruh negeri ini.
“Kami mempunyai 23,000 pengguna berdaftar dan lebih daripada 2,700 pedagang sudah pun menyertai sejak ujian kami dijalankan 10 bulan yang lalu.
“Selain daripada ibu pejabat kami di Kuching, kami telah menubuhkan pejabat di Sibu, Miri, Bintulu dan telah sampai ke Kapit, Sarikei dan kami masih memperluaskan perkhidmatan kepada peniaga kami di seluruh kawasan di Sarawak,” ujar Kent.
Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Pengerusi SAINS Tan Sri Datuk Patinggi Dr. George Chan Hong Nam, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Ir. Lo Khere Chiang, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng, dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Negeri Sarawak Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel.-EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS